Ulama
dan golongan berilmu sudah lama menjadi institusi yang dihormati dalam
pelbagai sejarah tamadun manusia, termasuk alam Melayu mahupun barat.
Golongan agama dan berilmu dimuliakan masyarakat, malah tradisi mereka
menjadi ikutan, termasuk berpakaian dan fesyen yang mereka pakai seperti jubah
digunakan sehingga kini dalam upacara konvokesyen atau tugas seharian di
makmal dan hospital.
Sejarah
juga menyaksikan golongan ulama dan berilmu dihina masyarakat kerana
mengutamakan kepentingan diri dan kelompok tertentu. Demikian juga halnya
apabila mereka dari kalangan berpendidikan agama dan memikul jawatan dalam
institusi keagamaan terperangkap kepada kehendak nafsu. Masyarakat sendiri
menghukum, melucutkan kemuliaan dan menghina mereka apabila mereka melanggar
nilai akhlak yang mulia. Dunia pernah menyaksikan peristiwa ini dalam sejarah
ketamadunan timur dan barat.
Pergerakan
Pemuda UMNO Malaysia bimbang dan kesal masih ramai ulama yang membelakangkan
pengajaran dari sejarah yang sebahagiannya dirakamkam oleh Allah swt di dalam
Al Quran. Di Malaysia ada segelintir di kalangan ‘ulama’ dan golongan
berpendidikan agama yang mengutamakan kepentingan diri dan politik
masing-masing sehingga membelakangkan amanah ilmu agama yang mereka pelajari.
Ini terbukti apabila semakin ramai di kalangan mereka yang apabila
mengeluarkan sesuatu kenyataan samada melalui ceramah dan syarahan, telah
mengabaikan ilmu malah menyampaikan apa yang hanya seronok didengar oleh
khalayak.
Banyak
kebenaran telah mereka
sembunyikan dan sanggup pula mencari dan menggunakan fakta agama yang tidak
sahih untuk menjadi alasan demi kepentingan politik mereka. Hadis yang lemah
dan palsu serta tafsiran dan pendapat golongan yang sudah ditolak oleh ulama
Al-Azhar sendiri telah menjadi sandaran menghalalkan tindakan mereka. Malah
golongan ini tergamak menganggap hadis palsu sebagai shahih dan hadis shahih
sebagai palsu dan lemah kerana tidak bersesuaian dengan sikap mereka yang
melampau, serta mengambil pendapat puak pelampau dari luar negara yang mereka
anggap ulama tetapi sebenarnya telah melencong jauh dari pegangan ahlu sunnah
wal jamaah.
Ulama golongan ini sanggup membelakangkan keutamaan ilmu dalam Islam dan melanggari pengajaran dari al-Quran dan Hadis serta sanggup bercakap dan memberi pendapat berhubung perkara yang mereka tidak arif dan tidak wajar campuri. Di negara ini, sebahagian ulama’ dan berpendidikan agama juga telah mengkhianati ilmu dan kebenaran yang mereka pelajari sehingga memecah-belahkan masyarakat, menghina dan memfitnah orang lain, termasuk saudara seagama.
Antara
kehendak Islam yang mereka sembunyikan adalah hadis sahih, contohnya sepertimana
Sabda Junjungan Besar s.a.w; “Sekira Allah swt menghendaki sesuatu kaum itu
mendapat kebaikan, maka Allah akan mentakdirkan pemimpin mereka dipilih dari
kalangan hukama’” (Hadis sahih: Muwata’ Imam Malik dan Sunan Abu Daud)
Menurut
hadis sahih ini, Rasulullah mengingatkan umat Islam bahawa pemimpin negara wajar
dipilih dari kalangan hukama’, samada mereka terdiri dari kalangan ulama atau
sebaliknya. Rasulullah tidak memilih perkataan ulama’ kerana bukan semua ulama’
itu boleh menjadi hukama’ dan bukan semua orang bukan ulama’ tidak boleh
menjadi hukama’.
Hukama’
menurut al-Quran seperti yang diingatkan Allah dalam kisah Lukmanul Hakim adalah
orang yang bijaksana dalam menguruskan hal ehwal mencari hasanah atau kesenangan,
kemajuan dan kebaikan dunia seperti mentadbir negara dengan bijaksana, supaya
mereka akan juga mendapat balasan hasanah di akhirat.
Ulama’
dari segi bahasa ditakrifkan seseorang yang hanya pakar dan arif dalam sesuatu
disiplin ilmu. Tetapi mereka mungkin tidak pakar dalam pentadbiran dan
pengurusan masyarakat. Contohnya pakar ilmu fiqah menguasai ilmu fiqah, pakar
astronomi menguasai ilmu astronomi, manakala pakar usuludin menguasai ilmu
usuludin, begitu juga pakar perubatan dan ekonomi mengusai ilmu dalam bidang
masing-masing.
Namun
pakar perubatan atau pakar ekonomi akan juga menjadi hukama’ sekiranya mampu
menterjemahkan ilmu pengurusan dan pentadbirannya dalam bidang perubatan (termasuk
memahami keseluruhan sistem kesihatan tubuh dan merawat kesakitan)
ke dalam pengurusan dan pentadbiran negara dan masyarakat.
Sehubungan
itu, adalah lebih wajar dan lebih mulia jika golongan ulama menjadi pewaris Nabi
yang mewarisi daripada Rasulullah s.a.w. sifat kasih sayang, mengeratkan
hubungan antara rakyat dan pemerintah dan memberi contoh kepada masyarakat
dengan perangai yang baik dan akhlak yang terpuji, tetapi janganlah pula ulama
menjadi penfitnah Nabi yang melakukan pecah belah dan porak peranda dengan
mengatakan behawa Nabi dahulu juga buat seperti mereka.
Keprihatinan
dan seruan YAB Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia supaya
ulama’ mengutamakan agama daripada politik adalah tepat. Ini bukanlah kali
pertama pemimpin negara yang dihormati seluruh dunia ini membuat teguran
seumpamanya. Justeru wajarlah golongan berilmu dan cintakan kebenaran akur
kepada mesej yang selaras kehendak Islam itu.
Ketua
Sekretariat Hal Ehwal Agama
Pergerakan
Pemuda UMNO Malaysia
Kuala Lumpur, Khamis, 27 Disember 2001